Selamat Berbahasa Kebangsaan

Subjek Bahasa Malaysia: Wajibkan kepada Pelajar STPM dan Universiti Awam

15/12/2010 11:42

KEDUDUKAN bahasa kebangsaan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dimartabatkan mulai tahun 2000 apabila semua calon dikehendaki lulus untuk membolehkan calon mendapat sijil dan diiktiraf lulus dalam peperiksaan itu. Sebelum itu, kelayakan untuk mendapat tempat dalam kursus dan memohon pekerjaan atau mengikuti pengajian adalah dengan kepujian dalam mata pelajaran itu.

Sudah sampai masanya hal yang sedemikian dilaksanakan juga bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Selain harus memperoleh prinsipal dalam Pengajian Am, calon juga wajar dikehendaki memperoleh prinsipal dalam Bahasa Malaysia untuk membolehkan calon memohon tempat di insitusi pengajian tinggi awam. Pada masa sekarang, hanya calon aliran Kemanusiaan sahaja mengambil mata pelajaran Bahasa Malaysia tetapi tidak diwajibkan, sementara calon aliran Sains tidak mengambilnya.

Demikian juga di peringkat universiti awam, sekurang-kurangnya untuk pengajian tahun pertama dan kedua, semua calon, termasuk dari luar negara, harus mengambil dan memperoleh kelulusan bahasa kebangsaan. Dengan cara sedemikian, pelajar tidak akan mengabaikan bahasa kebangsaan, dan menjadi biasa apabila keluar dari institusi pendidikan, dan seterusnya memartabatkan bahasa milik asal negara Malaysia itu.

SuhaimiMohdSalleh© 2010

Create a free websiteWebnode