Selamat Berbahasa Kebangsaan

Blog

17/12/2010 12:20

Hindari Ancaman Kanser Serviks!

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia sedang giat mengingatkan ibu bapa dan remaja tentang ancaman sejenis kanser yang boleh menyerang remaja perempuan dengan serius. Oleh itu, remaja perempuan yang berusia 13 tahun, di sekolah atau di luar sekolah, digesa dengan segera mendapatkan suntikan pelalian kanser tersebut di sekolah atau di klinik kerajaan. Kanser yang hendak dihindari itu dikenali sebagai kanser serviks.

Apakah kanser serviks? Istilah itu digunakan dalam bidang biologi. Orang yang berpendidikan atau kakitangan kesihatan tentunya memahami istilah tersebut. Namun, sebahagian besar masyarakat mungkin tidak mengetahuinya. Oleh itu, untuk memudahkan pemahaman, pihak berkenaan wajar juga menggunakan istilah padanan yang sama atau hampir sama makna dengannya. Kanser ialah barah dalam bahasa Melayu, yang maknanya dipercayai telah diketahui ramai orang. Serviks pula ialah salur pada bahagian bawah rahim ke arah kemaluan di dalam badan perempuan. Satu istilah yang pernah popular ialah pangkal rahim.

Dengan hal yang sedemikian, selain penggunaan istilah kanser serviks, tidaklah salah sekiranya dijelaskan bahawa kanser itu boleh juga dikenali sebagai barah pangkal rahim. Rasanya penggunaan istilah terjemahan itu sedap didengar dan masih tepat menggambarkan maksud yang hendak disampaikan, walaupun perkataannya lebih panjang sedikit.

15/12/2010 11:42

Subjek Bahasa Malaysia: Wajibkan kepada Pelajar STPM dan Universiti Awam

KEDUDUKAN bahasa kebangsaan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dimartabatkan mulai tahun 2000 apabila semua calon dikehendaki lulus untuk membolehkan calon mendapat sijil dan diiktiraf lulus dalam peperiksaan itu. Sebelum itu, kelayakan untuk mendapat tempat dalam kursus dan memohon pekerjaan atau mengikuti pengajian adalah dengan kepujian dalam mata pelajaran itu.

Sudah sampai masanya hal yang sedemikian dilaksanakan juga bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Selain harus memperoleh prinsipal dalam Pengajian Am, calon juga wajar dikehendaki memperoleh prinsipal dalam Bahasa Malaysia untuk membolehkan calon memohon tempat di insitusi pengajian tinggi awam. Pada masa sekarang, hanya calon aliran Kemanusiaan sahaja mengambil mata pelajaran Bahasa Malaysia tetapi tidak diwajibkan, sementara calon aliran Sains tidak mengambilnya.

Demikian juga di peringkat universiti awam, sekurang-kurangnya untuk pengajian tahun pertama dan kedua, semua calon, termasuk dari luar negara, harus mengambil dan memperoleh kelulusan bahasa kebangsaan. Dengan cara sedemikian, pelajar tidak akan mengabaikan bahasa kebangsaan, dan menjadi biasa apabila keluar dari institusi pendidikan, dan seterusnya memartabatkan bahasa milik asal negara Malaysia itu.

Tags

The list of tags is empty.

SuhaimiMohdSalleh© 2010

Create a free websiteWebnode