Selamat Berbahasa Kebangsaan

Status

SUSUR GALUR BAHASA MELAYU

ASAL bahasa Melayu dikatakan daripada filum (induk) yang dipanggil Austris. Induk ini menurunkan rumpun Austronesia, Austroasia, dan Tibet-China. Austronesia menurunkan keluarga Nusantara, Melanesia, Polinesia, dan Mikronesia. Nusantara menurunkan golongan atau subkeluarga Sumatera, Filipina, Jawa, Kalimantan, Sulawesi Selatan, dan lain-lain lagi. Bahasa Melayu terletak dalam golongan Sumatera, bersama-sama dengan Aceh, Minangkabau, Nias, Batak, Lampung, dan Orang Laut.

Bahasa Melayu berkembang dalam tiga fasa utama berdasarkan kajian yang dilakukan pada sumber-sumber bertulis. Fasa terawal dikenali sebagai zaman bahasa Melayu kuno, iaitu yang bermula pada akhir abad ketujuh. Penggunaan bahasa Melayu purba ini terdapat dalam catatan pengembara China dan digunakan bersama-sama dengan bahasa Sanskrit pada beberapa buah prasasti (batu bersurat).  

Zaman klasik wujud pada abad ke-14 hingga abad ke-17. Bahasa klasik ini ditemukan dalam beberapa sumber, iaitu batu bersurat, karya klasik (karya sastera dan agama), dan surat raja-raja Melayu kepada pembesar Eropah. Batu bersurat penting yang mempamerkan penggunaan bahasa Melayu ialah batu Terengganu (bertarikh 1303 Masihi), batu nisan Malik al-Salleh (bertarikh 1297 Masihi), batu Pagar Ruyung (bertarikh 1356 Masihi) dan batu Minye Tujuh (bertarikh 1380). Pada zaman ini, terdapat pengaruh bahasa Arab yang ketara dari segi kosa kata dan binaan ayat. Walau bagaimanapun, batu Terengganu jelas menunjukkan penggunaan bahasa Melayu kerana didapati menggunakan tulisan Jawi, yang disesuaikan daripada tulisan Arab.

Bahasa Melayu moden bermula pada abad ke-18. Bahasa Melayu pada zaman ini mendapat pengaruh bahasa Eropah, antaranya Portugis, Belanda, dan Inggeris. Walaupun begitu, bahasa Melayu moden masih mengekalkan beberapa unsur bahasa Sanskrit dan Arab. Bahasa Melayu moden menggunakan tulisan Rumi dan menyebabkan tulisan Jawi kurang mendapat perhatian. Bermula dari kemerdekaan negara (1957), bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1956, bahasa rasmi mengikut Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, dan bahasa pengantar pendidikan mengikut peruntukan Dasar Pelajaran Kebangsaan. 

keistimewaan bahasa melayu

SETIAP bahasa ada keistimewaannya. Bahasa diturunkan oleh Pencipta Alam kepada setiap kaum untuk digunakan oleh kaum tersebut. Logiknya, kalau bukan kaum itu sendiri yang menggunakan dan memperkasakan bahasanya, orang lain sudah tentu tidak akan berbuat demikian juga.

 

FRANCOIS VALENTIJN, sarjana dan ahli sejarah bangsa Belanda: 

"Bahasa mereka, bahasa Melayu, tidak sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, sebagai suatu bangsa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu tidak saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga kepulauan Filipina".

 

JAN HUYGHEN VAN LINSCHOTTEN, orang Belanda, menjadi pegawai kepada pemerintah Portugis,  yang pernah tinggal di Indonesia (1586-1592):

Bahasa Melayu tidak sahaja sangat harum namanya tetapi dianggap juga sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa di negeri timur, dan orang yang tidak tahu akan bahasa Melayu di kepulauan Melayu dapatlah dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu.

 

Contact

Bahasa Wangsa

mie62@streamyx.com

Search site

PENGENDALI

SUHAIMI MOHD SALLEH

- Munsyi Dewan

- Guru Akademik Tingkatan 6 (Bahasa Melayu)

- Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu (Kepujian Kelas Pertama, Universiti Malaya: 1998)

LAMAN bahasa pengendali

Martabat 3

Rimbun Nahu

Wadah BM

Munsyi DESSO

Dermaga BM1

LAMAN BAHASA MELAYU

Dewan Bahasa dan Pustaka

LAMAN PANDUAN BAHASA MELAYU

Dunia Bahasa Kita (Hjh. Fariza Nurbaya)

Bahasa Itu Indah (Cikgu Taufik)

Munsyi Dewan (Ghalib Yunus)

Waris Pendeta (Hj. Nawi Ismail)

Tutor (Kumpulan Utusan)

SuhaimiMohdSalleh© 2010

Create a free websiteWebnode